Monthly Archives: Februari 2010

Nama Itu Miliknya

Puteraku Muhammad ‘Irfan. Nama pilihan yang terbaik dari beberapa yang dipilih untuk memenuhi tuntutan. Bukan sesuatu yang mudah untuk di letakkan nama kepada seseorang, salah makna takut buruk nasibnya kelak.

Pilihan yang tepat bukan sekadar keindahan perkataan, tetapi juga pada bahasa dan perucapan yang mudah difahami dan mudah dilafazkan. Tiada short form yang boleh merosakkan makna namanya. Itulah dasar pemilihan nama yang sebaik-baiknya.

Kelahirannya yang jatuh pada bulan yang sama (9 Rabiulawal 1431 Hijriah) dengan bulan Maulid Nabi Muhammad S.A.W (12 Rabiulawal) menjadikan nama Muhammad diletakkan dengan rasmi sebagai nama pertama puteraku ini. Selain itu juga, adalah menjadi hajatku dan zaujah mengkehendaki Muhammad sebagai namanya jika kami menimang seorang putera.

‘Irfan yang membawa maksud Kebijaksanaan, Kesyukuran dan Pengetahuan menjadi pilihan kedua bagi menyempurnakan nama puteraku ini sebagai hajat agar dirinya kelak menjadi insan yang bijaksana, bersyukur dan berpengetahuan luas.

Seperti yang telah aku nyatakan, pilihan ini berdasarkan makna yang baik. Melihat kembali kepada perjalanan aku dan zaujah dalam menghadapi kehidupan berkeluarga yang baru setahun jagung ini menjadikan diriku sedikit sebanyak  matang dengan hiruk-pikuk kehidupan dunia. Kadang-kadang kerohanian terlupa dek mengejar keduniaan. Tapi apakan daya diri ini yang lemah selalu membuat silap.

Aku bersyukur dengan limpah kurniaan nikmat dan berkat yang diberikan kepada aku dan keluarga. Dengan kelahiran kedua ini dan pemilihan namanya yang indah dan penuh makna memberi kekuatan padaku untuk menjadi seorang bapa seperti ayah dan ibuku yang memelihara, mendidik dan mengajar aku menjadi manusia bukan hayawanu natiq (haiwan yang berfikir).

Aku berfikir agar inilah caranya, inilah maknanya, inilah ketentuan dari Yang Esa agar anakku dinamakan itu kerana nama itu miliknya.

Wallahu’alam.

Advertisements

Kelahiran Baru. Putera Baru

Tarik nafas… Alhamdulillah… fuhh.. selamat akhirnya.

Ini kali aku tengok secara live di kaca cermin mata aku kelahiran seorang putera baru dalam hidup aku. Sebelum ni, kelahiran puteri sulung (anak pertama) tak dapat nak tengok secara live sebab bersalin guna vacuum. Doktor takut aku pengsan tengok darah, jadi mereka nasihatkan aku tunggu di luar. Aku akur… hari ni dia berumur genap 1 tahun 7 bulan dan sihat wal-afiat.

Pada hari ini juga, 23 Februari 2010 kelahiran putera sulung (anak kedua) aku dapat me’rakam’ dalam ingatan perit getir seorang ibu bersusah payah menahan sakit untuk melahirnya anak untuk kita. Kalau aku di tempatnya? Entahlah.  Mengendong kandungan selama 38 minggu 2 hari, loya-loya, letih, pening dan ada darah tinggi lagi!. Tiada jawapan adakah aku sanggup atau tidak. Itulah kekuatan seorang wanita.

Aku masih lagi mencari nama yang sesuai untuknya. Yang pasti perkataan “Muhammad” perlu ada demi ingatan kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Selain itu juga, untuk kesinambungan dari salah satu perkataan dari nama aku. For the rest of the name… any ideas?. Dah beritahu pada ayah kalau ada cadangan nak letak nama apa pada cucu lelaki pertamanya ini. Sekurang-kurangnya ada kenangan dari ayah. Huhu.

Sekarang aku sudah mempunyai sepasang anak. Jadi, kerja kena kuat demi menjaga amanah ini. Semoga kedua-duanya menjadi anak yang solehah dan soleh. Amin.

Kerja Sendiri: Ada Master Degree, Tapi Kerja Sendiri?

Selalu orang tanya kat aku, “Jihadi, ko keje apa skang?“. Aku jawab, “Keje sendiri, wakil takaful sepenuh masa“. Ditanya lagi, “Kenapa tak amik PTD ke?, tak pun jadi pensyarah ke?, ko kan ada master degree“. Memang dah biasa dengan kenyataan macam ni. Dah lali. Tapi nak buat macam mana, orang dah tanya, kenalah jawab.

Fikiran tipikal orang Melayu (berdasarkan pemerhatian – kebanyakan yang tanya adalah orang Melayu sendiri) bila ada kelulusan yang tinggi, maka pekerjaan atau jawatan juga harus setaraf dan eksekutif, atau dengan kata lain – makan gaji. Apa salahnya dengan kerja sendiri? Secara sedar atau tidak, bila kita berbicara tentang kerja sendiri adalah berkaitan dengan menjalankan perniagaan, jadi tak kisahlah perniagaan itu warisan turun-termurun, kecil-kecilan, industri desa, perunding seperti peguam, doktor, atau kewangan dan lain-lain tetapi ia adalah satu perniagaan.

Bila bercerita tentang perniagaan, maka kita akan bercerita tentang kaum kerabat perniagaan – risiko, rugi, untung, bankrap, modal dll – yang mana semua ini hanya dapat dirasai bila kita buat sendiri. Tak ada dalam buku hatta dalam silibus master degree pun tiada pengalaman yang serupa. Cuma dalam belajar secara teori ini dapat dipelajari  selok belok, pengalaman orang lain, falsafah dan ilmu yang tak serupa dengan orang lain yang tak belajar ilmu ini. Maka yang tinggal hanyalah usaha.

Tak semestinya orang yang ada kelulusan yang tinggi tak perlu berusaha untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan. Tidak sama sekali, cuma kebanyakannya (berdasarkan permerhatian aku) cepat capai kejayaan kerana mereka ada strategi sendiri. Ada juga yang tak jadi apa-apa – putus asa, malas dan bosan. Ye la, nak jadi kaya bukan sekelip mata, bak kata omputih “Rome was not built in a one day!“, jadinya kena usaha dulu baru tahu.

Berbalik pada cerita  – Ada master degree tapi kerja sendiri. Aku pilih industri kewangan (takaful) sebagai platform untuk mencapai impian. Sebelum ini pun aku pernah jadi usahawan, tapi silap teknik sikit, maka kantoi. Kesilapan mengajar erti kehidupan. Jadinya apa salahnya seorang perunding takaful mempunyai master degree? Aku rasa inilah kerjaya yang paling sesuai dengan kelulusan yang ada pada aku. Lagipun bukan niat aku untuk dapat master degree hanya untuk makan gaji, memang untuk self development. Rasanya tak salah. Cuma fikiran tipikal “orang kampung” masih membelenggu kebanyakan “orang bandar” yang menyebabkan ramai graduan yang hebat tak sanggup meneruskan kehebatan mereka bila memasuki era kerjaya.

Aku teringat pada satu cerita mengenai seorang ibu yang beriya-iya agar anaknya jadi gomen servant. Masa tu anaknya sudah mempunyai pendapatan pasif RM 2500 sebulan dengan perniagaannya sendiri. Tetapi ibunya mengharapkan anaknya kerja gomen yang gaji permulaan hanyalah RM 1500 sebulan (siap ugut mati tak tenteram kalau tak kerja gomen). Maka dukacitalah si anak kerana dalam dilema. Nak dijadikan cerita, si anak peri jumpa mentornya untuk dapat khidmat nasihat. Esok pagi, si mentor dan si anak tadi balik kampung jumpa ibu. Maka ditanya si mentor kepada si ibu, “Makcik, kenapa makcik nak anak makcik kerja gomen, bukankah kerja gomen tu gaji kecik dari gaji anak makcik sekarang“. Jawab si ibu tadi, “Kerja gomen terjamin. Tapi meniaga ni tak tahu hala tuju lagi. Kerja gomen ada pencen. Nanti tak susah dia“. Si mentor bersuara lagi, “Ooooo.. gitu…. ok lah makcik. Bukan ke Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa 9 dari 10 rezeki itu datangnya dari perniagaan, manakala 1 dari 10 rezeki itu datangnya dari perladangan. Maka kat sini makcik, berniaga itu rezeki jaminan dari Rasulullah S.A.W. Makcik percaya jaminan dari Rasulullah S.A.W ke atau jaminan dari kerajaan?“. Maka tersentaklah si ibu tadi bila mendengar kata-kata mentor si anaknya. Si mentor berkata lagi, “Makcik jangan risau, anak makcik dalam mencapai kejayaan. Lagi pun sekarang perniagaannya sedang maju. Rugi berhenti semata-mata mengejar pencen yang tak pasti sebab RM 50 hari ni sama nilai dengan RM 5 untuk 30 tahun akan datang. Biarlah dia dengan kerjayanya ini. Lagipun halal“. Maka si ibu akur dengan kehendak anaknya tadi.

So, cerita di atas sebenarnya sedikit sebanyakan membuka minda aku. Sebab itulah Rasulullah S.A.W suruh kita mengaji sampai ke negeri China, menuntut ilmu dari dalam kandungan hingga liang lahad, bukan semata-mata untuk kerja gomen atau makan gaji. Tapi untuk diri sendiri agar dapat memilih jalan yang betul. Wallahua’lam.

Ron95 Dan Ron97

Sejak stesen minyak guna minyak jenis Ron95 dengan harga murah RM 1.80 dari Ron97 yang berharga RM 2.08, maka aku dok pakai la minyak Ron95 dengan harapan banyak la boleh jimat bila guna kereta. Tapi semenjak dua menjak ni, kereta aku tak berapa elok mood dia. Naik bukit slow, pastu siap bergegar-gegar pula enjin. Bila tekan sikit paddle minyak nak kasi laju, tetiba terasa macam kereta ni jadi berat. Ada hantu tumpang apa? Haha.

Orang kata kalau guna minyak Ron95 ni tak berapa elok untuk kesihatan kereta. Mula-mula tu tak percaya sebab nak save duit punya pasal, tapi lain pula jadinya. Tak tahu apa sebabnya, tapi yang aku yakin lepas tukar minyak Ron97 barulah kereta aku sihat semula. Naik bukit tak semput, tekan laju pun ok, dan kalau long distant driving pun macam bawa kereta BMW aje… huhu.

Tapi yang jelas, poket aku rabak sikit bila pakai Ron97. Ye la, RM 2.08 seliter, pastu dengar kata bulan Mei naik lagi. Tapi yang penting kereta aku sihat wal afiat, tak ada nak meragam sangat, takut jadi punca traffic jam kat KL kalau rosak tepi jalan, nanti kena sumpah seranah dengan orang lain. Rabak pun rabaklah.

Reunion ex-SMAPTian ’98 Kali Ke-2

Alhamdulillah, dapat juga berjumpa kawan-kawan yang lama terpisah (tak lama sangat pun, ada la dalam 5 – 12 tahun gitu). Mana yang selalu datang reunion tu selalu la jumpa. Tapi yang jarang-jarang nak bersosial dengan orang ramai ni susah sikit nak jumpa, jangan marah mana yang terasa tu. Haha.

Dalam blog ni, aku tepekkan la sikit gambar-gambar kenangan reunion di kantin sekolah SMAPT yang penuh dengan nostalgia. Ada la dalam 26 kerat yang datang, tapi yang sedih sekali wakil dari bekas pelajar perempuan seorang aje yang ada. Yang lain semua ikut suami katanya…. isteri solehah la katakan. Haha. Walaupun begitu, Karim cakap nak buat lagi akhir tahun ni, kali ni target yang hadir kena lebih. Apa pun, tahniah pada Karim sebab berusaha untuk buat program ni. Insya Allah, kami akan membantu.

Kalau nak tengok banyak lagi gambar, klik di sini.

Adios!

Salam Ber-Blog: Ada Apa Dengan Blog?

Apa ada dengan blog?

Tak ada apa-apa pun. Pada aku, blog adalah cara seseorang melempiaskan hawa nafsu pemikiran, pengalaman, maklumat, kenangan-kenangan dan apa-apa jua yang boleh di tulis di dalamnya.

Secara pengalaman menulis blog ini memang dah lama, cuma sebelum ini penulisan aku banyak berkisarkan mengenai politik dan hal ehwal semasa. Hanya bermula hari ini baru aku menulis secara sukahati mengenai kehidupan aku. Haha. Tiada yang istimewa, tetapi ini mungkin menjadi suatu yang baru.