Monthly Archives: Mac 2010

Tinggalkan Makan Gaji

Satu tajuk entry yang agak kontroversi bagi mereka yang sebaya aku. Ada berann?.. Haha..

Jangan salah anggap dengan kenyataan aku itu, aku TIDAK sarankan kepada mereka yang mendedikasikan diri mereka kepada kerja. Kalau anda guru, maka jadilah guru yang baik. Kalau anda A.D.O, maka jadilah A.D.O yang jujur. Kalau anda Polis, maka jadilah Polis yang berwibawa. Tetapi jikalau anda seorang guru yang mengajar kelas sekadar tugas untuk gaji bulanan, mempunyai kerja kedua seperti berniaga, maka tinggalkan makan gaji itu.

Tak salah kalau nak hidup dengan dua kerja, malah ada yang buat tiga kerja sehari. Tapi apa kata kalau kita fokus pada sesuatu kerja yang kita lakukan. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Rugi masa, rugi tenaga, rugi wang ringgit, rugi semua yang ada. Bila dah jadi seperti ini nanti jangan pula salahkan ibu mengandung. Haha.

Aku ada ramai kawan yang berkerjaya sebagai penjawat awam. Tapi dek keinginan yang tidak terbatas, kebanyakan mereka menjalankan perniagaan sampingan. Biasanya perniagaan MLM dan takaful atau insurans menjadi platform yang biasa digunakan. Dengan kelebihan sebagai penjawat awam yang mudah mendapat pinjaman peribadi dari mana-mana bank, mereka membuat pinjaman itu untuk perniagaan MLM. Menjadi lumrah orang berniaga, ada untung dan ada yang rugi. Tapi banyak yang rugi sebenarnya. Tak pasal-pasal kena bayar hutang ‘kering’ yang tak boleh tidak terpaksa ditolak dari gaji dari RM 200 hingga RM 400 sebulan, tak boleh culas nak bayar sebab Biro Angkasa ada untuk menjalankan tugas menolak gaji sehingga selesai dibayar.

Semua orang boleh berniaga, tetapi tengok kepada cara setiap individu itu. Kalau dah ada gaji yang confirm dapat bulan-bulan, maka motivasi nak push perniagaan tu tak kuat. Cuba kalau tak ada gaji bulanan?, kebiasaannya manusia akan ada ‘desakan’ diri untuk mendapatkan pendapatan secara paksa-rela. Nak tak nak, kerja untuk mendapatkan duit untuk keluarga dan sara hidup akan lebih kuat. Oleh itu, fokus dalam perniagaan yang diceburi akan lebih kuat dan semangat untuk mencapai misi perniagaan akan lebih membara.

Makna fokus itu sendiri dalam Bahasa Inggeris lebih sinonim dengan Forget Other Commitment Until Success (FOCUS). Makna ini sendiri mengambarkan kepada tumpuan kepada satu-satu kerja atau aktiviti. Lance Armstrong, Pelumba Basikal, 2 kali juara Olimpik dan 5 kali johan Tour de France, memfokuskan latihan 12 jam sehari setiap hari untuk mencapai kejayaannya sedangkan dalam masa yang sama beliau menghidap barah. Agak-agaknya kalau beliau menyelitkan aktiviti harian buat MLM atau jual insurans setiap hari dengan jumpa kawan sana dan jumpa kawan sini, rasa-rasanya bolehkah beliau berjaya seperti di atas?. Haha.

Kadang-kadang aku lihat mereka yang kerja di pejabat (tak kisah la kerajaan atau swasta) banyak buat perniagaan sampingan dari menjalankan tugas sebenar di pejabat. Malah ada yang menggunakan telefon pejabat, internet pejabat, mesin fotostat pejabat, kerja A4 pejabat untuk buat flyers, call prospek perniagaan atau buat iklan di Facebook pada masa mereka bekerja di pejabat sedangkan gaji yang dibayar adalah untuk 8 jam kerja yang diabadikan untuk tugas yang diberikan. Aku sendiri tertanya adakah HALAL gaji yang diterima itu sedangkan kerjanya tak seberapa, dengan kata lain makan gaji buta. Mungkin ada ustaz yang boleh tolong jawabkan?

Pada pendapat ilmu aku ni, lebih baik jangan buat macam tu. Kalau nak kerja makan gaji, maka kerjalah dengan jujur dan ikhlas. Kalau takut diri ini tak jujur dan ikhlas, maka berhentilah dan buat kerja sampingan tadi tu dengan sepenuh masa. Aku yakin berkatnya lebih dari makan gaji yang buta.

Bak kata seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates, katanya “Apabila anda mahukan sesuatu kejayaan sepertimana anda mahukan udara untuk bernafas, maka anda akan dapat kejayaan itu“. Kalau anda kerja sendiri atau berniaga, nak tak nak anda wajib untuk paksa diri anda untuk mendapatkan pendapatan seperti mana anda perlukan udara untuk bernafas. Kalau tak miss soru la nampaknya.

Wallahu’alam.

Advertisements

Kerja: Cita-cita Atau Desakan?

Aku teringat masa di sekolah rendah dulu, biasa ada cikgu tanya murid-murid dalam kelas, “Besar nanti nak jadi apa?“. Maka ditanya seorang demi seorang. Ada yang nak jadi Cikgu, Doktor, Peguam, Polis dan lain-lain kecuali Ahli Politik dan Jutawan. Haha. Tapi tak tahu la pulak kalau sekarang ni dah ada yang bercita-cita seperti itu.

Kalau ditanya pada aku juga, jawapan skema macam tu tak lari dari bibir. Kira bernasib baik la kalau kita ada cita-cita, tapi yang paling parah bila ditanya cita-cita,  maka jawapannya “Entah la“. Tapi itu masa sekolah rendah. Bila dah bergelar graduan ni baru tahu langit tu tinggi ke rendah.

Sekarang ni tumpuan pekerjaan tertumpu kepada sektor penjawat awam, tak kisah la PTD ke, cikgu ke, Polis ke tapi yang penting ialah bekerja dengan kerajaan (gomen). Peluang pekerjaan di luar sana masih ada, tapi tak ramai yang nak ambil peluang dengan alasan gaji kecil, tak selesa, jauh dari rumah, bukan bidang belajar dan macam-macam alasan yang diberikan agar dapat digelar penggangur terhormat abad ini.

Kalau nak dikaji secara rambang, setiap tahun ada sahaja pelajar yang bergraduat. Maka sumber manusia mahir dan tak mahir bertambah, tinggal lagi tempat kosong tak ada (bukan tak ada tapi memilih). Maka jalan penyelesaiannya mudah dengan meng”apply” KPLI, SPA-8, J-Qaf, Pensyarah IPTA, janji kerja dengan kerajaan. Bagi sesiapa yang memang layak untuk memenuhi peluang ini memang amat di alu-alukan, tetapi bagi sesiapa yang hanya memilih kerja ini sebagai last choice untuk survival maka inilah yang rugi kepada mereka.

Kadang-kadang mahu sahaja aku sound mereka yang sudah memiliki kelayakan dan pekerjaan dalam bidang di mana dia belajar dulu, alih-alih bila jumpa sekarang dah jadi cikgu, alasannya kerana tak tahan kerja. Jadi cikgu rileks. Mahu sahaja aku cakap “Kalau dari dulu dah tahu tak layak jadi engineer, buat apa belajar enggineer. Bagi kepada orang yang betul-betul nak jadi engineer“. Tapi itu hanya sekadar ilustrasi imaginasi aku sahaja, tak layak bagi aku cakap macam tu, cuma terkilan dengan tindakan survival sesetengah dari mereka yang tolak tuah.

Tolah tuah? Alhamdulillah, setakat hari ini aku masih berada dalam bidang aku sendiri. Bukan riya’, tapi hanya sebagai “sample kajian” seorang pelajar yang kurang pandai tetapi mengambil kesempatan untuk membina masa depan dengan cara sendiri, iaitu kerja sendiri. Aku pernah ambil ujian untuk masuk Maktab Perguruan, tapi bila muhasabah diri, aku bagai tak layak untuk jadi cikgu kerana aku lebih suka independent. Tak suka dengar arahan orang, apatah lagi bila dimarah orang sebab aku jenis baran sikit. Kadang-kadang mulut aku cepat balas apa yang orang cakap menyebabkan aku boleh dicop sebagai “Kurang Ajar“. Jadi untuk tidak mengurang-ajarkan mulut aku yang tak ada takaful (kini mulut aku sudah ada takaful.. haha), maka aku ambil jalan yang lain dari yang lain untuk membina hidup yang jauh dari survival dunia.

Jadi, adakah kerja itu sebahagian cita-cita anda atau desakan ekonomi dan survival anak bina anda?. Satu soalan yang boleh menimbulkan kemarahan sesetengah pihak yang termakan lebih cili, dan juga menjadi satu soalan yang paling disukai untuk dibincangkan oleh golongan seperti aku. Tetapi perbincangan ini bukan untuk dicanang dalam blog aku ini, cuma satu persoalan untuk muhasabah diri sendiri agar nawaitu kerja itu sentiasa betul kerana upahnya adalah untuk anak bini dan seluruh keluarga.

Wallahu’alam

Artis: Penghibur Atau Ikon?

Beberapa minggu sudah, Wardina ada menyatakan bahawa artis di Malaysia tak layak dijadikan sebagai ikon. Ramai di kalangan artis yang terkejut dan menyerang Wardina kerana dek kelantangannya bersuara. Maka ada yang mempersoalkan wibawa Wardina kerana dia juga seorang artis. Apakah Wardina lupa bagaimana bermulanya beliau mengukir nama dalam industri hiburan negara ini sebagai seorang artis?

Bak kata orang, katakanlah sesuatu yang benar walaupun pahit. Persoalan bermain di kepala, adakah layak golongan artis ini menjadi ikon kepada masyarakat? Ini satu persoalan yang mempunyai jawapan yang subjektif. Tiada jawapan yang tepat dan tiada jawapan yang salah. Tetapi yang ada hanyalah pandangan dan saranan.

Wardina menyatakan apa yang difikirkannya sebagai satu yang betul, padanya pengalaman lampau mengajar erti kehidupan sebagai seorang artis. First impression bagi orang kebanyakan seperti aku, apabila menjadi sebahagian dari dunia hiburan, masalah sosial, maksiat, dosa berlegar-legar disekeliling kita. Tetapi faktor populariti, kemewahan, kesenangan membayangi masalah-masalah negatif tersebut. Setuju atau tidak, ini adalah satu pandangan.

Banyak berita yang kita dengar yang melibatkan artis tempatan yang amat memalukan. Ada yang ditangkap khalwat, menghisap dadah, bercerai, masalah hutang dan yang terbaru ada yang terlibat dengan aktiviti penghasilan dan pengedaran dadah. Banyak berita yang buruk dari yang baik. Masih lagi mahu menegakkan benang yang basah? Mungkin dalam ketika ini, kata-kata Wardina memang benar!. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Memang tak dinafikan artis ada juga yang elok perwatakannya dan berpelajaran tinggi tetapi berapa ramai? Boleh dikira dengan jari yang sepuluh ini. Artis dari kalangan industri nasyid tempatan mungkin boleh dikategori dalam mereka yang baik, mungkin juga tidak, tetapi tak banyak cerita yang kita dengar mengenai mereka berbanding artis ‘konvensional’ di luar sana.

Bila berbicara mengenai ikon, sememangnya seseorang itu haruslah berada dalam lingkungan kejayaan. Artis di Malaysia bukan seorang dua, terlalu ramai ditambah dengan ‘mee segera’ yang direbus bebarapa minggu dan beberapa kali dalam masa setahun menjadikan lambakan artis yang datang dari pelbagai latarbelakang. Ada yang berkualiti, tetapi kebanyakkan hanya kuantiti yang menjadi ‘sampah industri’.

Bagi mereka (mee segera) ini menjadikan artis sebagai ikon maka itu adalah pilihan yang tepat. Maksud aku mudah, seorang guru menjadikan guru lain sebagai ikon adalah logik, seorang anak menjadikan ayah sebagai ikon adalah logik, dan juga seorang bakal artis menjadikan artis sebagai ikon juga adalah logik yang boleh terima dek akal. Agak dangkal fikiran logik seseorang bila menjadikan artis sebagai ikon jika dia seorang doktor. Aku tak kata itu salah, cuma mungkin sedikit ‘cacat’ bila difikirkan semula.

Bagi aku, kenyataan kontrovesi Wardina itu ada benarnya, mungkin salah kenyataan tersebut jika melihat dari satu sudut pemikiran. Tetapi dari sudut fikiran yang lain, “Apahal mamat Zed Zaidi ni melalak tak tentu hala pasal kenyataan ni. Ukur baju badan sendiri la…“.

Wallahu’alam.

Sisi Buruk Perniagaan MLM – Bahagian 2

Banyak di luar sana syarikat-syrikat MLM yang menawarkan berbagai produk, pelan pemasaran dan ganjaran yang lumayan kepada ahli yang mencapai kalayakan yang ditetapkan oleh syarikat. Alhamdulillah, kalau 20 tahun dahulu, syarikat MLM yang menguasai pasaran di Malaysia kebanyakan syarikat dari luar negara. Tapi kini dah banyak syarikat tempatan yang dapat menyaingi mereka. Saingan bukan setakat pada kelebihan produk, tetapi juga pelan pemasaran yang lebih praktikal dan ganjaran yang besar menjadi salah satu motivasi kepada ahli-ahli untuk bekerja bersungguh-sungguh.

Tetapi dalam keseronokan dan kesungguhan tersebut kadang-kadang kita ditipu oleh pihak syarikat. Maksud menipu ini bukanlah penipuan dari segi bonus atau ganjaran, tetapi lebih kepada produk mereka. Pernahkah anda terfikir sekotak kopi ginseng yang ada 12 sachet dijual dengan harga RM 120.00, adakah benar-benar bernilai kopi ginseng ini yang sama nilai harganya dengan nilai 1 gram emas 999 karat sekarang? Kalau anda beli 1 gram emas 999 karat sekarang dengan harga RM 120 akan menjadi RM 150 pada pada akan datang. Mana yang lebih untung?

Masa aku dalam industri ini, aku mengikuti sebuah syarikat dari Amerika yang memasarkan produk makanan tambahan. Dari segi produknya memang agak mahal, tetapi tak semahal kopi ginseng seperti di atas. Selain itu juga, aku lihat kepada segi pertukaran wang asing dari US Dollar kepada RM yang menyebabkan harga produk mereka tinggi. Tetapi sekali lagi aku nyatakan, harganya masih lagi murah berbanding harga kopi ginseng tadi.

Bukan setakat produk kopi ginseng ini sahaja, banyak lagi produk lain dari syarikat yang berlainan yang mempunyai harga yang melampaui dari harga asal. Mengikut kajian rambang aku, kebanyakan harga yang dibeli ahli adalah 30% lebih mahal dari harga asal. Itu tak masuk lagi harga runcit yang dijual kepada pelanggan yang bukan ahli. Persoalan sekarang ini adakah kita rela untuk membayar lebih 30% untuk sesuatu produk yang tidak diyakini keberkesanan dan kebaikan di atas penggunaannya?

Dalam hal ini, jikalau produk itu hanyalah sebagai alat untuk menjana pendapatan tanpa sebarang faedah kepada pembelinya, maka ini berkaitan pula kepada “pembaziran”. Seperti yang kita maklum, membazir itu amalan syaitan. Aku masih lagi tertanya-tanya mengenai hukum sebenar MLM ini menurut Islam. Kalau ikut penulisan Ustaz Zaharuddin mengenai perniagaan MLM katanya masih banyak lagi yang perlu dikaji dan dinilai, walaupun begitu, kajiannya ini sedikit sebanyak memberi maklumat yang baru mengenai perniagaan MLM kepada kita.

Pada aku mudah sahaja, jika perniagaan tersebut mengikut lunas-lunas akad jual beli, untuk runcit, produk yang tepat untuk pengguna yang tepat tanpa ada pembaziran dan penipuan adalah boleh diusahakan.

Sisi Buruk Perniagaan MLM

Perniagan MLM Bukan short form kepada ‘malam’, jangan salah ertikan makna itu, tapi kalau singkatan kepada Perniagaan Multilevel Maketing, Perniagaan Mengkaya Lain Melayu, Perniagaan Mengkaya Lain Manusia, Perniagaan Meniaga Larut Malam… malah ada juga yang memberi maksud Perniagaan Menipu Lain Manusia, Perniagaan Menipu Larut Malam dan lain-lain yang sewaktu dengannya adalah benar dan juga tidak benar. Tapi terpulang kepada anda untuk memikirnya selepas selesai membaca tulisan ini.

Aku banyak pengalaman dalam perniagaan MLM. Sejak tahun 2002 aku sudah menceburkan diri dalam perniagaan MLM sehinggalah tahun 2009. Banyak pengalaman yang aku pelajari dalam perniagaan ini, ada baik ada buruknya. Yang baik adalah perniagaan ini memberi peluang kepada banyak orang especially orang Melayu untuk berniaga, menjadi kaya, mengubah hidup dan mencapai kejayaan. Tetapi yang buruknya pun ada.

Sejak berpuluh tahun dahulu, perniagaan MLM yang ada kebanyakkannya berteraskan sistem menjual dan mengrekrut wakil jualan kumpulan. Dua teras ini menjadikan sistem perniagaan MLM berjaya. Tak kiralah wakil jualan bekerja secara sepenuh masa atau separuh masa, kalau rajin adalah habuannya.

Tak perlu untuk aku ceritakan sistem komisyen, bonus, ganjaran dan keistimewaan pelan dalam tulisan ini kerana di luar sana banyak tukang cerita. Lagipun tak banyak perbezaan di dalam sistem antara syarikat dengan syarikat dalam perniagaan MLM ini.  Tetapi apa yang aku mahu lempiaskan di sini adalah perkara yang menjadi perniagaan MLM buruk. Tidak dinafikan ramai yang berjaya, tetapi ramai juga yang gagal.

Kini sistem perniagaan MLM berubah kepada trendskim membeli pangkat“. Kalau dulu sistemnya adalah menjual dan mengrekrut, tetapi kini ‘menjual’ sudah kurang atau tiada tetapi hanya ‘mengrekrut’ sahaja. Caranya mudah, anda perlu keluarkan sejumlah wang besar dan membeli produk dari syarikat MLM. Setiap produk mempunyai mata (points) yang boleh mewakili bonus kepada pembeli. Selepas itu terpulang kepada anda untuk menjual barang tersebut kepada pelanggan dengan harga runcit, jikalau terjual anda akan mendapat untung runcit + dengan bonus dari syarikat + komisyen rekrut wakil jualan, maka keuntungan yang besar anda akan nikmati. Tapi itu sistem asal iaitu ‘menjual’ dan ‘mengrekrut’.

Dalam sistem ‘rekrut’, untung runcit tiada. Yang ada hanyalah bonus dari syarikat kepada wakil jualan (ahli). Kelebihan sistem ‘rekrut’ menjaminkan keuntungan yang berlipat ganda dari keuntungan runcit. Inilah yang banyak terjadi sekarang. Banyak cerita yang aku dengar, sebagai contoh buat pinjaman peribadi RM 22,000 beli produk dan terus dapat pangkat, lepas tu rekrut orang lain dengan membuat perkara yang sama (buat pinjaman RM 22,000) maka yang atas dapat naik pangkat, dapat bonus wang, dapat ganjaran.

RM 22,000 digunakan untuk membeli pangkat, manakala produk yang dibeli simpan di stor atau bawah katil. Bagi yang bijak mereka menjual produk tersebut kepada orang lain, dapat untung runcit, tetapi jikalau harga satu produk mencecah ribuan ringgit? jenuh juga nak menjual. Maka bila letih tebal muka dek menjual barang yang tak laku-laku, maka mereka berhenti dan hanya menumpukan kepada ‘rekrut’ orang lain untuk jadi seperti mereka kerana dengan cara ini dapat balik semula modal yang telah dikeluarkan.

Yang menjadikan kecewa apabila Hadis Nabi Muhammad S.A.W dijadikan sandaran kepada perniagaan mereka ini, tak lain tak bukan ialah “9 per 10 rezeki itu datangnya dari perniagaan“. Hadis ini memang benar, tetapi perniagaan yang dimaksudkan ialah perniagaan akad jual beli, iaitu transaksi antara dua pihak iaitu pihak yang menjual dan pihak yang membeli. Dalam hal ‘membeli pangkat’, pihak yang menjual adalah pihak syarikat yang mengeluarkan produk dan pihak yang membeli adalah pihak ahli. Manakala pihak yang di ‘rekrut’ tidak menjalan perniagaan dengan ‘orang atas’, mereka hanya menjalan perniagaan hanya dengan syarikat. Akad perniagaan hanya berlangsung pada waktu itu sahaja, waktu perbentangan pelan dan rekrut tiada perniagaan.

Bukan itu sahaja, menjadi juga beban kepada orang yang di ‘rekrut’ apabila mereka tidak berjaya menjual dan mengrekrut orang lain jadi sepertinya kerana wang yang dikeluarkan tidak dapat semula. Tidak seperti yang diwar-warkan semasa pembentangan pelan pemasaran. Paling sadis apabila produk tak dijual, tiada orang yang mahu jadi ahli, hutang pula terpaksa bayar. Bodoh-bodoh saja kena bayar hutang yang tak sepatutnya.

Tapi aku tak salahkan mereka, bila nak berniaga, maka pilihlah yang sesuai dan mengikut kemampuan. Jangan fikir untung sahaja, pikir juga keupayaan sendiri. Tengok duit banyak memang seronok, masa tu semua jadi kawan, bila jatuh tergolek semua menghilang. Malah dituduh bukan-bukan. Apa nak buat, nasib badannn.. haha.

Wallahu’alam..

Kisah Silam Yang Terkubur

Suka duka hidup sebagai seorang peniaga yang sentiasa mencari peluang meninggalkan parut pengalaman yang dalam. Orang kata, jika ada masalah maka cari jalan penyelesaiannya, tetapi bagi seorang yang berfikiran seorang peniaga atau opportunist masalah dijadikan sebagai peluang dan mengubah masalah kepada perkara yang menguntungkan. Sehingga kini aku memang menggunakan konsep yang sama dalam memilih satu-satu perniagaan. Aku rasa ini juga konsep yang digunakan oleh mereka di luar sana.

Akan tetapi, setiap keputusan yang dilakukan tak semestinya tepat dengan tekaan kita. Mana yang terkena “jackpot“, rezekinya sampai anak cucu, tetapi mana yang terkena ‘jerangkap samar’, hutang pun keliling pinggang. Secara jujurnya, hingga hari ini aku masih terkena “jerangkap samar” tersebut.

Tapi itu cerita lama, sekarang mungkin aku sudah terkena “jackpot” walaupun orang kata successful in the making tapi ini aku rasa mudah, senang dan walaupun ada halangan tapi aku sudah kebal dek pengalaman yang terdahulu mengajar aku erti susah, payah, penat, lelah, pening kepala dan macam-macam lagi dan alhamdulillah aku dapat mengharungi dengan baik sekali.

Lain orang lain rezekinya. Ada orang dijadikan sebagai seorang pendidik yang berjaya. Ada orang dijadikan sebagai pemimpin yang berjaya. Ada orang dijadikan sebagai professional yang berjaya. Ada orang juga dijadikan sebagai peniaga dan ahli perniagaan yang berjaya dan ada orang juga orang dijadikan sebagai penjenayah yang berjaya. Haha. Itu semua pilihan kita, maka kita yang menentukan sendiri hala tuju hidup kita. Kata orang tua, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Bila mengingati kisah silam yang gelap menyelubungi hidup aku dahulu, terasa bodoh sungguh diri ini membuat satu-satu keputusan walaupun pada masa itu adalah keputusan yang tepat yang telah dibuat. Tak kisah berapa modal diperlukan dalam satu-satu perniagaan atau projek, sanggup mencari dan meminjam walhal hutang lama masih lagi belum dilangsaikan, tetapi keinginan mengalahkan kewarasan (ketika itu) menyebabkan langkah tersadung. Tersungkur. Sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi keimanan menjadi perisai agar kita sentiasa berpijak pada bumi yang nyata.

Allah Ta’ala memang mengasihi makhluk-Nya yang lemah. Bagi aku semua ini adalah dugaan dan pengajaran yang tidak dapat dipelajari dari mana-mana buku pengurusan perniagaan yang aku gunakan selama ini. Kadang-kadang ada sebab kenapa kita tidak berjaya dalam kerja yang kita lakukan kerana mungkin salah satu sebabnya terdapat sesuatu kerja itu terselindung perkara maksiat dan haram, malah ternampak satu-satu kerja itu baik dari segi mata kasar seperti hadiah komprehensif yang mencairkan hati dan rohani, rupa-rupanya hanyalah mainan pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan tanpa mengira ia halal atau haram.

Hari ini aku masih lagi d’iganggu’ dengan mereka yang masih tidak sedar dengan hakikat ini. Masih mencari nilai-nilai ‘murni’ dalam apa yang dilakukan, masih menggunakan “handling objection” yang ‘syok sendiri’ agar diri sendiri tidak rasa bersalah dengan rezeki yang diterimanya. Setiap kali aku melawan, setiap kali itulah ada juga jawapannya walaupun kadang-kadang mereka langsung tak dapat menjawab persoalan yang aku timbulkan. Tapi kerana dulu aku pernah berada dalam kandang yang sama, maka sedikit sebanyak terkena juga najis itu. Walau telah dibasuh dan dibilas, kesannya masih ada.

Kisah silam ini sedikit sebanyak ia mengajar aku mengenai kehidupan. Sedikit penyesalan juga ada dan aku akur. Insya Allah, najis yang terpalit akan pasti hilang juga akhirnya, cuma masa yang menentukan ia cepat atau lambat.

Wallahu’alam.