Monthly Archives: April 2010

Mati Itu Pasti: Bagaimana Skim Takaful Membantu Anda?

Sudah lama tak menjenguk blog ni…

Lama ditinggalkan kerana kerja aku mengingatkan orang ramai bahawa satu hari nanti kita pasti akan mati. Bunyi kerjanya agak ngeri. Siapa nak fikir pasal mati, sedangkan setiap dari kita (termasuk aku) bangun dari tidur akan menjalankan rutin harian sebagai seorang pekerja, usahawan, peniaga dan boss sekalipun bagi mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Masakan mahu mendengar perihal mati?

Please don’t get me wrong!

Bukan aku mahu menyekat kebebasan anda semua mencari rezeki, carilah rezeki Allah S.W.T ini di seluruh pelusuk dunia bagaikan kita hidup beribu tahun, tidak salah. Apa yang aku bawa adalah ingatan mengenai “back-up” untuk mereka yang ditinggalkan ketika kita pergi kelak.

Adakah cukup bekalan kita untuk bertemu Yang Maha Satu itu adalah persoalan yang kita perlu jawab sendiri. Berbalik kepada tajuk entry ini, ya! mati itu pasti berlaku, hanya kita tidak mengetahuinya bila, di mana, bagaimana. Ada satu perkara yang aku mahu kongsikan di sini yang berkaitan hal mati ini iaitu adakah kita mempunyai “back-up” atau bekalan yang cukup untuk mereka yang ditinggalkan?

Bagi perancang kewangan, bekalan yang dimaksudkan adalah sumber “pendapatan alternatif ” atau dengan kata lain, gantian kepada pendapatan yang telah hilang akibat kematian kita, bapa, suami dll (pencari nafkah keluarga). Sebagai contoh;

Seorang suami dan juga bapa yang mempunyai 4 orang anak. Pendapatan bulanan keluarga RM 5000 (RM 3500 datang darinya, manakala RM 1500 lagi dari isterinya). Mempunyai aset rumah yang bernilai RM 200,000 dan kereta RM 15,000. Simpanan Tabung Haji RM 10,000 dan ASB RM 30,000. Perbelanjaan bulanan termasuk bayaran bulanan pinjaman rumah, kereta, bil-bil utiliti, sara hidup, pendidikan anak-anak dll lebih kurang RM 4,100 sebulan.

Menggunakan contoh di atas, apa akan terjadi kepada keluarga tersebut jika si suami pergi awal (mati awal)?
1. Pendapatan bulanan RM 3500 hilang
2. Perbelanjaan bulanan RM 4,100 menjadi defisit
3. Bayaran pinjaman rumah dan kereta akan tersangkut

Adakah simpanan mencukupi untuk menampung keluarga ini?
Simpanan Tabung Haji RM 10,000 + ASB RM 30,000 = RM 40,000. Mengikut perkiraan, bagi meneruskan gaya hidup yang sedia ada, iaitu perbelanjaan bulanan RM 4,100, maka RM 40,000 hanya dapat bertahan lebih kurang 9 bulan sahaja.

Bagaimana baki kehidupan keluarga itu selepas 9 bulan tersebut?

Inilah persoalan yang aku ingin utarakan kepada anda semua. Bagaimana keluarga tersebut ingin meneruskan gaya hidup yang sama seperti si suami masih hidup lagi iaitu sumber kewangan RM 3500 setiap bulan tanpa henti. Caranya ada;

Bagi si suami, pendekatan yang mudah ialah dengan mengambil perlindungan skim takaful yang bernilai lebih kurang RM 400,000 – RM 500,000 sebagai Manfaat Kematian. Dengan adanya dana ini, walaupun si suami baru sahaja menyertai skim takaful selama beberapa bulan, nilai perlindungan yang disetujui akan diterima oleh keluarganya.

Katakanlah si suami mengambil skim takaful yang bernilai RM 500,000. Si suami ditakdirkan umur pendek dan meninggal sebelum skim takaful ini matang, maka nilai RM 500,000 akan diwariskan kepada keluarganya. Bagi pihak keluarga, apa yang perlu dilakukan ialah menyimpan RM 500,000 ini ke dalam institusi kewangan yang boleh beri 7% – 8% dividen setahun. Jika 8% dari RM 500,000 ialah RM 40,000. Maka RM 40,000 ini dibahagikan kepada 12 bulan iaitu lebih kurang RM 3,300 sebulan.

Oleh yang demikian, selagi RM 500,000 ini ada di institusi kewangan yang dapat memberi 8% dividen setahun maka pendapatan bulanan RM 3,300 sebulan akan dinikmati oleh keluarga tersebut selama-mana wang tersebut berada di situ. Mungkin keluarga tersebut “short” RM 200 dari pendapatan sebenar jika si suami masih hidup, tetapi ini sudah memadai. Mungkin keluarga ini perlu menstruktur semula perbelanjaan mereka agar defisit tidak berlaku.

Apa yang aku ceritakan di atas jika si suami mati awal sebelum tempoh matang skim takaful yang disertainya. Bagaimana pula jika si suami umur panjang sehingga tempoh matang skim takaful tersebut? – hal ini akan dibincangkan untuk entry yang akan datang.

Wallahu’alam.

Berniaga Itu Susah?

Susahkah berniaga?.. Siapa kata berniaga itu mudah?.. (baca sampai habis tau!)

Tak ada apa dalam dunia ini mudah. Hatta mahu buang air besar pun memerlukan “kepayahan”. Jadi apa yang susah sebenarnya?

Seorang pengusaha restoran. Bangun pagi pergi pasar beli barang basah – sayur, ikan, ayam, daging, dll. Balik pasar urus barang yang dibeli tadi, tengok balance sheet kalau ada yang kurang atau terlebih beli. Sedikit short boleh kacau akaun hari esok. Tengahari layan pelanggan dan jaga kaunter bayaran hingga petang. Waktu petang pergi ke kedai runcit untuk dapatkan barang runcit – gula, beras, kopi, teh, susu cair, dll. Malam menjelang, tauke kira-kira untuk bayar gaji pekerja, ada yang bayar bulanan, dan ada yang bayar harian. Kadang-kadang, kalau ramai pelanggan masuk kedai, maka masyuk la incomenya, kalau kurang maka kuranglah incomenya. Itu tak kira pasal persaingan, santau-santau, dengki-dengki. Kalau ada pekerja antarabangsa – Indon, Bangla, Myanmar ke yang tak ada permit kerja – mata-mata RELA menjeling aje. Sekali kena rush, maka esok kedai tutup sebab tak ada pekerja.

Seorang pengusaha kedai runcit. Pemeriksaan kira-kira kena teliti sebab margin keuntungan kedai runcit tak besar. Hari-hari kena jual barang dari kedai sebanyak mungkin, baru nampak duit masuk. Kalau ada jual barang basah, pagi-pagi lagi kena keluar beli barang basah. Kena cari tempat murah, baru jual dapat untung. Tekanan bayaran bil-bil utiliti tak macam restoran – api dan air tinggi, hanya risau bil elektrik sahaja sebab kebanyakan kedai runcit kurang-kurang ada dua tiga peti ais atau chiller. Masalah besar bila stok barang selalu habis dan stok baru lambat sampai, maka tauke kena pandai budget keluar masuk stok barang agar stok sentiasa ada dan pelanggan dapat apa yang mereka mahu beli. Kalau ada short, biasanya terjadi bila stok kena curi dengan pelanggan, malah ada juga pekerja yang mencuri – bukan setakat stok barang-barang, tapi duit. Selain tu ada juga barang-barang tak laku, maka barang tu buruk dan tak boleh dijual. Tauke kena pastikan tarikh tamat tempoh satu-satu barang dengan betul agar tak ada laporan dari pelanggan kata kita jual barang buruk dan tamat tempoh.

Pengusaha MLM. Selalu orang kata perniagaan ini senang dan mudah –  “buat bisness di rumah pun dapat 2-3 ribu sehari” – itulah bunyi iklan mereka. Bila masuk jadi ahli, biasanya kena keluarkan modal. Keluar modal ciput, untung boleh jadi besar, tapi gantinya ialah usaha untuk jual barang dan cari ahli ramai kena kuat. Keluar modal besar, untung pun boleh jadi besar dan besar, tapi tak perlu kerja keras jual barang dan cari ahli yang ramai. Ramai yang berjaya, dan ada juga yang kecundang. Yang terawal menyertai perniagaan ini biasanya mudah berjaya berbanding mereka yang lambat, lebih-labih lagi bila ramai orang dah tahu perniagaan ini, maka banyak pula cerita yang tak sedap kita dengar. Risiko penerimaan sentiasa ada. Kadang-kadang kawan boleh jadi lawan, tapi lawan pun boleh jadi kawan. Cemuhan lebih banyak diterima dari sokongan. Lebih-lebih lagi bila perniagaan sedang naik, maka kemewahan ditunjuk dengan kereta mewah, bila perniagaan dah jadi tepu, kereta mewah pula kena tarik. Malu ooo..

Perunding insuran dan takaful. Hari-hari kena ingatkan orang pasal mati dan sakit, dan hari-hari juga kita ingatkan diri kita mengenai mati dan sakit. Lagi tertekan. Kalau kaki buka kaunter, satu hari kena tegur orang sekurang-kurangnya 20 – 30 orang untuk dapat buat 5 – 6  presentation. Dalam  5 – 6 presentation tu, hanya 1 – 2 yang membeli insuran atau mmenyertai takaful. Bagi orang baru, tekanan muka tebal dan gugup memang dah wajib. Mulut kena petah untuk jawab penolakan, tapi silap-silap haribulan, perunding itu sendiri kena belasah dengan prospek. Kalau seminggu tak hantar kes, pengurus agensi buat “ceramah ringkas” tetapi padat dan pedih. Setiap bulan kena ada target jualan. Tak capai target kena sekali lagi “ceramah ringkas”. Celik mata terus capai telefon buat appoinment. Bila habis prospek, kena cari. Kurang-kurang 50 prospek sehari. Mau pecah kepala pikir strategi.

Memang susah nak berniaga ini. Kalau setakat nak berniaga alas perut baik tak payah berniaga. Berniaga ini susah bagi mereka yang hanya mahu duit tambahan, sebab boleh menyusahkan pelanggan yang membeli barang dengan kita. Kalau peniaga itu menawarkan perkhidmatan, maka terdapat follow-up yang perlu dilakukan. Kalau setakat cash and carry tak apa, api bila ada report susah juga.

but don’t get me wrong

Apa yang aku ceritakan di sini adalah sisi negatif satu-satu perniagaan. Susah dan jelek untuk mengusaha perniagaan perlu diketahui. Banyak lagi perniagaan yang belum aku ceritakan, sekadar ini sahaja yang boleh aku kongsikan di sini berdasarkan pengalaman aku. Tapi ada yang positif bila dilihat sebaliknya, mungkin entry selepas ini akan menceritakan positifnya pula.

Wallahu’alam.