Mansuh UPSR & PMR: Ilmu Atau Markah

Seingat aku, perkara ni pernah aku bincang dengan rakan dan pensyarah universiti dalam setahun dua yang lepas. Pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR untuk sekolah dan hanya mengekalkan SPM sebagai peperiksaan penting untuk pelajar di Malaysia ini. Ya, aku memang setuju dengan cadangan ini kerana melihatkan generasi aku dan generasi selepas aku yang semakin “exam oriented” dan ini semacam KPI dalam hidup mereka, jadi aku kira ini menjadi semacam duri dalam daging, jikalau dibiarkan ia menjadi nanah dan kudis.

Kenapa aku nyatakan begitu?, kerana aku pernah berada di dalam kalangan murid yang kurang menyerlah. Dan aku tahu perasaan mereka apabila keluarga dan masyarakat mempersoalkan markah dalam setiap peperiksaan besar ini. Mana ibubapa yang tak mahu anaknya cemerlang dalam pelajaran? Semua mahukan perkara itu, tetapi sedarkah bahawa anak-anak tersebut ‘terseksa’ untuk mencapai apa yang ibubapa mereka mahukan. Mereka lebih terdedah kepada mencapai markah dari memahami ilmu, dan generasi inilah yang kita lihat banyak sekarang di Malaysia. Walaupun begitu, mereka akan juga matang dalam mencernakan sesuatu ilmu itu, tetapi lambat.

Markah yang menjadi KPI inilah yang menjadi duri dalam daging yang aku katakan itu. Setiap hari aku lihat ada ibubapa yang hantar anak-anak untuk ke kelas tuisyen bagi mencapai hasrat ibubapa itu sendiri bagi melihat anaknya cemerlang. Tetapi itu adalah hasrat ibubapa kerana sejak kecil kita tanamkan dalam kepala otak kita dan anak kita bahawa belajar sungguh-sungguh dapat markah cemerlang dan boleh dapat kerja yang hebat. Sedar atau tidak, itu adalah doktrin yang digunapakai. Anak tersebut bagai robot yang ada perasaan. Cuti sekolah pergi tuisyen, habis sekolah pun tuisyen hinggakan anak-anak tersebut tak tahu apa makna hidup dan terjumud dalam pemikiran yang terbelenggu dengan kelas, kelas, kelas. Kalau ini yang terjadi, tak perlu sebut tentang “kreatif”, “bijak” atau “think out of the box” kerana mereka tak reti dan tak tahu berfikir. Pada aku, mereka mungkin pandai, tetapi tidak bijak. Buktinya banyak dan tak perlu aku sebutkan, anda boleh fikir sendiri.

Aku percaya setiap manusia itu dicipta besama-sama dengannya satu “enzim” yang dipanggil “genius” atau “bijaksana” dalam setiap badan manusia, tetapi kita tidak dapat mengeluarkannya kerana doktrin yang aku sebutkan di atas. Sedangkan Allah Ta’ala mencipta kita lebih dari itu kerana ada bukti-buktinya. Masakan kita lihat ada orang yang genuis seperti Al-Jabar yang mencipta Teori Algebra, Ar-Razi yang mengkaji dengan lengkap saraf manusia dikala waktu itu barat masih gelap, Albert Einstain yang menemui zarah atom, dan kini Bill Gates dengan Windowsnya dan di Malaysia kita ada Mokhtar dengan kaedah matematiknya – Mokhdar dan banyak lagi – mereka mencipta sejarah. Dan setiap manusia berbeza caranya, tidak semestinya dalam bidang-bidang tertentu. Dalam politik pun ada genius politiknya, dalam perniagaan ada genius perniagaan, dalam penciptaan ada genius penciptaan, malah dalam bab membodek pun ada manusia yang genius dalam membodek, tetapi ini semua memerlukan pengalaman dan pemikiran. Tetapi bagaimana mahukan pengalaman dan pemikiran jika 11 tahun otak hanya tertumpu untuk dapat markah terbaik sahaja. Pergi tuisyen, balik tuisyen, baca buku, latih tubi akhir letih minda. Yang pasti keupayaan mereka lebih dari mencapai markah UPSR dan PMR yang kebanyakkan soalan objektif – soalan aneka pilihan – guna dadu pun boleh jawab.

Jikalau peperiksaan UPSR dan PMR ini memperlihatkan daya pemikiran atau keupayaan menganalisis sesuatu seperti peperiksaan SPM, mungkin tidak perlu dimansuhkan. Malah SPM pun perlu juga diubah corak soalannya yang lebih menekankan kepada keupayaan berfikir atau “common sense” murid-murid kerana nilai inilah yang perlu dibawa kedalam era pendidikan pengajian tinggi kelak. Kenapa aku kata begitu, sebabnya dalam pengajian di universiti juga ada mahasiswa yang masih belum matang untuk berfikiran kreatif, malah hanya tertumpu dengan nota suapan para pensyarah tanpa mengkaji dan menilai banyak bacaan. Tahniah kepada pensyarah yang mahukan rujukan lebih dari 10 buah buku atau jurnal bagi setiap assignment yang diberikan kepada mahasiswa bagi menambah input mereka ini, tetapi jikalau hanya setakat mahu assignment tersebut perlu lebih dari 3 mukasurat…. tak payah lah. Letak “spacing” 2.0, “font” Arial dan saiz 12, 2000-3000 patah perkataan  dan boleh capai 3 mukasurat, tetapi semua goreng dan tak ada isi, kalau adapun hanya rujukan dari internet – http://www……. 20 rujukan pun boleh letak.

Apa yang aku sampaikan di sini adalah pandangan peribadi aku sepanjang bergelar pelajar. Malah sehingga kini aku masih belajar kerana indahnya ilmu, tetapi bukan untuk mengumpul sijil atau markah, kerana aku suka belajar. Belajar kerana kita gembira, dan gembira apabila dapat belajar. Bukan belajar kerana terpaksa dan dipaksa untuk belajar. Penekanan kepada aspek kemahiran berfikir dan mencari pengalaman boleh dengan cepat mematangkan murid-murid dan anak-anak ketahap yang kita sendiri tak dapat fikirkan. Kerana generasi akan datang lebih bebas dalam menggunakan akal fikiran anugerah Allah Ta’ala ini untuk kebaikan. Yet there is still a mirror of every positive thing….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: