Monthly Archives: Februari 2011

40 Hari

Alhamdulillah, sudah hampir 31 tahun aku hidup di muka bumi dan berbagai pengalaman dan ilmu yang aku pelajari secara langsung dan tidak langsung. Tapi kalau nak dibandingkan dengan mereka yang sudah mencapai jubli emas, apalah sangat aku ni.

Bila bercerita tentang kematian, kebiasaan masyarakat kita iaitu ahli keluarga akan melakukan tahlil untuk si arwah agar ia tenteram di alam kubur.  Secara syara’nya aku tak pasti sebab tak habis mengaji lagi bab ini, tapi secara adat memang selalu berlalu di mana-mana sahaja ceruk Malaysia ini. Paling lama pun 3 hari 3 malam yang pernah aku lalui, paling cepat pun sehari sahaja iaitu pada hari arwah dikebumikan iaitu pada malamnya. Malah ada yang tak buat pun kenduri tahlil arwah.

Adat di kampung aku, sudah memadai sehari kenduri tahlil. Itupun dengan niat juadah yang disajikan kepada tetamu adalah amalan sedeqah amal jariah untuk si arwah tersebut.  Sebab ada Hadis yang menyatakan bahawa apabila matinya seorang manusia maka terputuslah dia dengan dunia kecuali 3 perkara iaitu: (1) Sedeqah jariahnya, (2) Ilmu yang bermanfaat, (3) Doa anak-anak si mati yang soleh dan solehah.

Baru-baru ini ada ahli keluarga aku yang meninggal. Pada aku bab kenduri tahlil arwah ni tak perlu nak bincang beriya-iya sangat sebab ia perkara mudah, jadi aku tak ambil kisah sangat. Tetapi bila dinyatakan kenduri tersebut nak dilangsungkan selama 3 hari berturut-turut maka aku terima sahaja tanpa banyak soal. Tetapi aku masih juga tertanya, kenapa nak buat sampai 3 hari? Adakah bacaan Yassin dan tahlil tersebut sampai kepada arwah?. Bacaan Yassin dan tahlil oleh anak-anak arwah memang boleh sampai tetapi bagaimana dengan bacaan para tetamu yang datang?.

Aku ambil pendekatan bahawa juadah yang diberikan kepada tetamu sebagai sedeqah jariah arwah untuk bekalan di kubur. Ok, itu dah selesai. 3 pun 3 harilah, jangan sampai cukup eddah sudah.. letih nak mengemas.

Tiba-tiba terdengar pula ‘fatwa’ yang aku tak pernah dengar dari mana-mana ulama’ bahawa segala barang arwah tak boleh disedeqahkan selagi belum cukup 40 hari arwah meninggal dunia. Terdengar lagi KATANYA arwah masih ada di rumah tengok anak-anak, tengok baju, tengok periuk belanga, tengok mesin basuh, tengok DVD, tengok TV, tengok Astro selama 40 hari dan ditambah lagi setiap hari raya arwah turun datang rumah. Jadinya, tak boleh sedeqah barang-barang tu nanti arwah menangis kononnya arwah sedih tengok semua barangnya dah disedeqahkan KATANYA. Tapi aku tak sure kalau jual barang-barang arwah dapat duit mungkin arwah tak menangis kot?

Pemahaman 40 hari inilah yang membuat aku sedikit marah kepada si tukang KATA tadi. Persoalannya sekarang, adakah arwah nak tunggu 40 hari dalam kubur baru arwah boleh dapat pahala sedeqah jariah tersebut?. Persoalan ini aku tak boleh jawab sebab ianya hanya logik akal semata-mata, tetapi yang jelas dalam mana-mana nas Al-Quran, Hadis, Ijma’ dan lain-lain lagi tak dinyatakan perkara ini. Perkara 40 hari ini hanyalah sebagai adat sahaja yang digunapakai oleh adat-adat tertentu yang tak mendalami ilmu Islam sebenar.

Bagi aku perkara yang baik tak tak elok ditangguhkan, baik dipercepatkan agar arwah dapat backup semasa dalam alam barzakh. Nak tunggu 40 hari baru dapat backup? Kalau berperang aku rasa dah kalah teruk dah… lunyai jawabnya. Sebab sayangnya ahli keluarga kepada arwah, jadi aku keraskan juga hujah aku agar diteruskan niat untuk sedeqah segala halmilik arwah yang boleh disedeqahkan agar arwah releks sikit di alam barzakh sana.

Semoga arwah dicucuri rahmat Allah Ta’ala hendaknya.. aminn.

Karut Marut

Al-Fatihah buat bonda mertua aku yang kembali ke Rahmatullah 5 Jan 2011 jam 2.00 pagi di Hospital Selayang. Terima kasih pada kakitangan wad 7D, 9C dan ICU yang menjaganya semasa arwah sedang sakit.

Dalam tengah-tengah kritikal, aku sentiasa berfikiran positif bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan ini semua qada dan qadar Allah Ta’ala yang menjadikan setiap sesuatu bersebab. Kadang-kadang orang Melayu kita mudah berfikiran dangkal tanpa berfikir apa yang menyebabkan sesuatu perkara itu berlaku. Apa yang terjadi ini sebagai pedoman untuk kita semua.

Barangkali hanya orang yang beriman sahaja yang muhasabah diri kenapa setiap musibah yang berlaku pada dirinya adalah sebab dosanya kepada Allah Ta’ala tanpa menuding jari kepada orang lain yang tak ketahui hujung pangkal. Percaya pada bomoh atau tukang mengarut yang kononnya pandai melihat itu dan ini menjadi punca kepada fitnah yang besar. Jelas di sini bahawa bomoh (tukang mengarut) semacam mahu tunjuk yang dia mempunyai ‘power‘ yang hebat sehingga boleh memberi perskripsi yang jelas siapa yang santau menyantau siapa. Padahal sakit yang di alami berpunca dek kecuaian menjaga kesihatan yang dipandang remeh.

Kepercayaan bomoh bukannya salah 100%, tapi kebanyakkannya tak boleh percaya. Secara fikiran yang waras ini, seorang bomoh kononnya tahu itu dan ini tetapi tidak menghadirkan diri ke Masjid untuk Solat Jumaat yang jauhnya rumah dan masjid itu hanyalah 2 minit berjalan kaki adakah boleh dipercayai?. Bagaimana pula kalau ada yang ‘claim‘ mempunyai ilmu ma’rifat yang tinggi tetapi menggunakan colok untuk mengubat adakah boleh dipercayai?. Bagaimana pula ada yang kononnya yang memberitahu bahawa menyantau itu adalah dari kalangan ahli keluarga yang terdekat sedangkan kita pasti dan tahu bahawa individu tersebut bertungkus-lumus Solat Hajat, tadarrus Al-Quran, baca Yassin, Qiamullail untuk minta keredhaan Allah Ta’ala agar orang disayanginya itu kurang terseksa, adakah bomoh tersebut boleh dipercayai?.

Aku menjadi tersentak dan mula mengambil langkah mudah dengan bomoh-bomoh seperti ini. menyebarkan pemikiran logik mengikut nas yang dibenarkan untuk menyedarkan ahli keluarga yang terdekat bahawa bomoh-bomoh ini langsung tak boleh pakai semata-mata mahu mengelakkan dari bahana fitnah melanda keluarga ini.

Paling menyedihkan, ada sesetengah mereka yang tak mahu berfikir secara matang ke atas apa yang berlaku ini. Mereka masih terkial-kial mempercayai bomoh-bomoh dan taksub dengan pembayang-pembayang yang dinyatakan. Kerjanya hanya menuding jari ke arah orang lain tanpa melihat dari sudut islamik. Ironinya mereka bersusah payah meminta pertolongan Allah Ta’ala tetapi solat fardhunya lebur.

Mungkin ini adalah hikmah untuk aku bahawa masih lagi ramai di luar sana yang mempercayai benda karut-marut walaupun mereka ini nampak moden.

Wallahu’alam..