Sarapan RM 6,000

Kes sarapan RM 6,000 di sebuah restoran Pengkalan Chepa, Kelantan sehari dua ni memang kecoh. Ye la, sarapan aje pun takkan la sampai RM 6,000, cekik darah punya harga – itulah yang akan kita fikirkan, tetapi setelah meneliti dan mendengar alasan dan penafian pihak restoran, maka jelas pada kita apa yang sebenarnya berlaku.

Saya tak mahu nak ulas panjang, cuma saya nak berkongsi pengalaman tentang perkara yang hampir sama situasinya dengan kes sarapan RM 6,000 ini. Sebelum saya memulakan kerjaya sebagai seorang wakil takaful ini, saya telah mengendali sebuah restoran milik keluarga mertua hampir dua tahun lamanya. Pada waktu itu, saya dan isteri sedang menghabiskan Ijazah Sarjana di MSU. Ibu mertua seorang katerer yang agak terkenal di kawasan beliau, kebanyakan pesanan tempahan katerer adalah dengan beliau, baik kenduri kahwin, kenduri kesyukuran, aqiqah, majlis-majlis keraian VVIP dan jabatan-jabatan kerajaan adalah dengan beliau. Kehebatan dan masakan yang sedap menjadi buah mulut orang ramai jika mahu menempah makanan, dan salah satu rahsia lain dari masakan yang sedap ialah harga adalah murah berbanding katerer lain. Begitu juga restoran, harga makanan dan minuman masih kekal walaupun kos bahan mentah ada kalanya naik dan tak turun-turun. Tetapi saya bersyukur kerana sambutan pelanggan masih kekal pada waktu itu.

Saya hanya menjaga dan mengendali restoran yang menyediakan sarapan, makanan tengahari, dan masakan Thai pada waktu malam. Selain itu juga, saya membantu dalam urusan katerer ibu mertu, tetapi hanya urusan kerja-kerja renyah, manakala urusan kewangan katerer saya tidak masuk campur, sehinggalah isteri berkongsi masalah urusan kewangan katerer yang agak meruncing dek kerana orang berhutang. Buat kenduri kahwin, nampak gah, tetapi berhutang. Ibu mertua saya ini jenis seorang yang lembut dan bertolak-ansur, kadang-kadang pelanggan sering mengambil kesempatan terhadap kebaikan beliau. Saya dan isteri pernah menjadi “Ah Long” untuk mengutip hutang kenduri kahwin sehingga si pengantin yang berkahwin dan mempunyai anak seorang, tetapi liat untuk membayar kos katerer kepada ibu mertua saya. Saya melihat perkara ini akan menjadi ‘barah’ yang akan merosakkan kewangan perniagaan katerer ibu mertua saya, dan sangkaan saya ini menjadi benar kerana ditambah dengan masalah L.O oleh pihak kerajaan yang mahu katerer tapi lambat bayar. Masalah L.O ini menjadi punca utama kerana ia mengganggu sistem aliran tunai perniagaan katerer ibu mertua saya. Jika L.O ini lambatnya seminggu atau sebulan mungkin tiada masalah, tetapi jika melarat sehingga dua hingga tiga bulan akan menyebabkan aliran tunai akan terganggu teruk.

Apabila masalah L.O ini berlaku, saya menasihati ibu mertua agar berhenti mengambil tempahan L.O dari kerajaan yang besar-besar, hanya ambil L.O yang kecil dan cepat dapat. Bukan tolak rezeki, tetapi masalah kewangan katerer semakin meruncing. Gaji pekerja perlu dibayar, bahan mentah juga perlu dibayar tunai, bil-bil utiliti juga begitu. Jika masalah aliran tunai yang selalu tertangguh ini berterusan, jawabnya katerer akan berhutang dengan pekerja dan supplier. Alhamdulillah, akhirnya masalah L.O ini semakin hari berkurangan. Tempahan dari syarikat swasta semakin hari bertambah kerana urusan dengan mereka mudah, hari ini makan, selesai makan bagi invoice, esok lusa dapat cek. Mudah dan menguntungkan.

Waktu itu kumpulan jabatan-jabatan kerajaan seperti biasa menempah katerer dengan ibu mertua, tetapi ada ketika mereka datang makan di restoran pula. Oleh itu dalam seminggu, kadang-kadang sehingga tiga kali kumpulan-kumpulan mereka datang untuk makan di restoran. Kali ini ia berkaitan terus dengan saya, kerana saya yang mengendalikan restoran tersebut. Masakan harian untuk menu tengahari biasanya dibuat untuk 300-400 orang sehari, tetapi apabila kumpulan kerajaan ini datang tanpa makluman awal akan menyebabkan pelanggan setia yang selalu makan di restoran ini tidak berkesempatan untuk menjamu selera kerana makanan telah licin. Selain itu, kumpulan kerajaan ini cuba untuk menjelaskan bayaran secara L.O juga dengan saya, tetapi saya jenis berkeras tidak terima L.O kerana pengalaman katerer ibu mertua telah mengajar saya. Jadi mereka terpaksa membayar secara tunai kepada saya sehingga ada kata-kata yang tidak sedap didengar sampai ke telinga saya kerana saya tidak berkompromi dengan mereka.

Saya tidak mengambil endah perkara tersebut, saya berniaga, bukan makan gaji seperti mereka yang sudah pasti duit masuk poket tiap-tiap bulan. Pendapatan saya berdasarkan keuntungan jualan harian restoran. Kalau tiada jualan akibat hutang, maka pendapatan saya, gaji pekerja dan pembelian bahan mentah juga akan terganggu. Saya kekalkan secara tunai. Dan kesan daripada itu, saya dinasihati agar tidak terlalu keras. Saya akur demi ‘menjaga hati’ sesetengah pihak. Aktiviti kumpulan kerajaan makan di restoran lama kelamaan semakin menjadi-jadi, sehinggakan pelanggan tetap terpaksa pergi ke restoran lain untuk menjamu selera. Masalah L.O kembali menghantui saya. Mereka datang makan tidak memaklumkan awal kepada saya, makanan cukup-cukup untuk pelanggan luar, bila habis makanan, pelanggan luar lari. Malah ditambah dengan L.O dan hutang. Memang pedih nak tanggung sehingga saya sendiri memaklumkan kepada ibu mertua untuk berhenti dari mengendalikan restoran beliau. Saya tak mampu nak bersabar dengan karenah mereka. Pada saya mereka bukan pelanggan saya, pelanggan saya adalah mereka yang datang ke restoran dan bayar tunai setiap hari itulah pelanggan saya. Mereka hanya datang apabila ada makan ‘percuma’ yang dibayar melalui L.O.

Saya mengambil risiko untuk berhenti dan menjadi wakil takaful secara sepenuh masa, kerana ini lebih baik dari menjalankan urusan dengan orang yang suka mengambil kesempatan diatas kebaikan orang lain. Selepas beberapa tahun saya meninggalkan restoran, akhirnya restoran terpaksa ditutup kerana masalah kewangan yang meruncing dan pemergian ibu mertua saya ke Rahmatullah. Dalam hati kecil saya ada sedikit kekesalan dan kecewa kerana tidak dapat membantu, mungkin saya penting diri sendiri. Tetapi saya ada alasan kukuh untuk itu, tetapi biarlah ia tenggelam dengan pengalaman yang telah lepas. Semoga roh ibu mertua saya dirahmati Allah Ta’ala.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: