Percaya | Trust

Yup. Well said

Nak bina kepercayaan bukan sesuatu yang mudah. Bak kata pepatah barat, “Rome was not build in a day“, tapi boleh tambah “But to ruined it just need a second!”.

Dalam bidang takaful, perkara paling penting bagi seorang wakil adalah jujur dan amanah atas diri sendiri. Takaful tiada produk untuk ditayangkan apatah lagi untuk demontrasi keberkesanannya, tetapi ia masih relevan untuk dipasarkan hingga ke hari ini kerana pelanggan sudah faham akan kepentingannya, tinggal lagi siapa yang perlu untuk diberi kepercayaan. 

Takaful adalah business of trust. Apabila anda dipercayai, jual apa pun pelanggan akan beli hatta anda jual peti ais di Eskimo tetap akan laku. Begitulah salah satu sifat Rasulullah SAW iaitu AMANAH yang berkait rapat dengan PERCAYA | TRUST yang mengajar kita menjadi muslim yang baik walaupun dalam bidang keduniaan… akan tetapi ia menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak. InsyaAllah. 

Jadilah seorang peniaga yang bolah dipercayai! 

Love.Trust.Respect 

K.E.R.J.A.K.E.R.A.S™ 

#ilovemyjob #takafuladvisor #etiqatakaful #kerjakeras

Percaya Diri

Masa awal penglibatan aku dalam industri takaful ini, antara soalan yang paling popular ditanya oleh kenalan ialah, “Kenapa buat takaful, kenapa tak buat bla, bla, bla..“, ada juga yang tanya, “Kenapa pilih Etiqa Takaful, kenapa tak pilih Takaful XYZ…”, dll. Tetapi yang peliknya mereka yang tanya-bertanya ni tak pula berada dalam industri ini, entah-entah satu sijil takaful pun mereka tak ada sertai. Kadang-kadang kita hanya perlu raikan sahaja soalan mereka tanpa menjawab apa-apa dan selepas itu lupakannya sebelum ia menjadi virus pemikiran yang menggangu pekerjaan kita.

K.E.R.J.A.K.E.R.A.S™

#ilovemyjob #takafuladvisor #etiqatakaful #kerjakeras

Perpustakaan Mini Ayah

Balik semalam ke rumah ayah di kampung. Kebetulan pula malam tadi Final Piala FA, Pahang lawan Felda United. Kami anak-beranak melangut depan tv. Mula-mula macam dah tak ada harapan nak menang bila Felda United dapat gol sebiji. Masuk separuh masa kedua, dua puluh minit terakhir, Pahang dapat dua gol terus. Bersorak aku di rumah ayah, Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang… Haha. Pahang menang 2-1 dengan Felda United. Tahniah Pahang, tahniah juga Felda United kerana berjaya ke Final.

Macam biasa, bila dah balik kampung ni, tak banyak kerja nak buat. Biasa masa dihabiskan dengan baca buku-buku dalam simpanan ayah turun-temurun dari simpanan arwah Aki. Tapi kebanyakan buku yang aku baca pun adalah buku baru yang ayah dan mak beli di pesta atau karnival buku sejak bertahun lepas. Baca buku antara aktiviti ayah dan mak selepas mereka bersara. Aku… Aku tumpang baca aje. Haha.

Perpustakaan mini ayah dah lama wujud, seingat aku sejak ayah bina rumah ni semasa umur aku tingkatan peralihan (sesi setahun sebelum masuk sekolah agama) memang ayah dah rancang untuk buat satu bilik khas untuk simpan buku-buku dia. Sekarang ni dah ber-rak-rak buku, itupun tak cukup rak nak simpan. Banyaknya buku ayah ni sehingga aku sendiri apabila buat kertas projek masa Diploma di KIPSAS dulu menggunakan hampir 70% rujukan (literature review) melalui rujukan dan buku simpanan ayah ini. Malah, arwah Mak Ndak dulu pun masa buat thesis degree beliau di UKM selalu datang ke rumah ayah untuk dapatkan rujukannya (Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Ustazah Dalilah Ibrahim).

Aku sedikit pelik, kadang-kadang terfikir sebab banyak buku dan rujukan simpanan ayah berkitar tentang ilmu keagamaan baik tafsir Al-Azhar, tafsir Fi Zilalil Quran, tafsir al-Munir, Kitab Al-Uum, sirah-sirah Nabi, kitab Ihya’ Ulumiddin, Mustika Hadis jilid 1-3 dan banyak lagi, sedangkan ayah seorang yang berlatar pendidikan Sains dan Biologi. Itu yang buat aku pelik tapi kagum dengan ilmu ayah.

Sekarang ni lagi bertambah buku-buku keagamaan bilamana setiap tahun ayah dan mak akan ke karnival buku di Putrajaya dan PWTC. Tak pernah tak pergi. Jadi aku tumpang baca aje la… Haha. Semoga usaha ayah dan mak menambah buku-buku dan rujukan ini memberi manfaat kepada anak cucu cicit mereka kelak, dan diberkati Allah Ta’ala. Ameen.

20140608-115655-43015849.jpg
20140608-115812-43092607.jpg
20140608-115844-43124178.jpg
20140608-115855-43135884.jpg

Di tag , ,

Bicara Buku: Bersyukur Saat Diuji

20140602-100656-36416739.jpg

Buku ni dah lama dah ada, mak dan ayah beli di pesta buku di PWTC kalau tak silap aku. Buku tulisan Prof. Ahmad Kamil yang kini bekerja dan menetap di Kota Madinah. Buku ini wujud hasil pengalaman beliau dalam menghadapi saat-saat diuji dengan ujian bencana alam, ujian harta benda, ujian penyakit, ujian kematian, ujian fitnah dan banyak lagi.

Apa yang menarik dalam tulisan beliau ini, ia tulisan dari hati yang menyentuh hati aku selaku pembacanya. Sudah seminggu aku khatam, tetapi impak nasihat beliau kepada aku (pembaca) masih segar dan terasa. Nasihat kesabaran, kekuatan, ketaqwaan kepada Allah Ta’ala, nasihat-nasihat amalan, kecintaan kepada pencipta, nasihat khusyuk solat dan berbagai lagi, semua nasihat ini terkesan. Alhamdulillah.

Semoga penulisnya dirahmati Allah Ta’ala.

Di tag , , , , ,

Tepuk Dada, Tanya Iman

Belajar. Belajar. Belajar. Siapkan assignment. Belajar lagi. Kerja part time. Belajar lagi. Futsal sampai pukul dua pagi. Study. Exam. Exam lagi. Carry marks lagi. Belajar lagi. Kerja sepenuh masa. Rindu orang itu, orang ini. Cemburu orang itu dengan orang ini. Bincang pasal nikah. Lewat bangun solat subuh, tapi lebih risau lewat nak pergi kelas. Tak risau sangat solat lambat. Balik rumah dah lewat, solat asar ke mana, solat maghrib ke mana. Perut lapar, cari makanan. Duit takde, pergi bank. Rasa tak tenang, ada benda tak kena, pakai earphone, dengar lagu apa-apa. Duduk di kawasan lapang, tenangkan fikiran. Al-Quran tak bersentuh, masjid tak jejak.

Benda sama lagi dibuat. Sambil online, tiba-tiba terbaca satu tweet:

Buat apa pun, jangan lupa, Allah nampak semuanya. Malaikat mencatat.”

Tanpa rasa tersentuh, hati mula kata, “Benda dah selalu diingatkan. Aku tahulah Allah tu Maha Melihat. Malaikat tu sentiasa mencatat.”

Teruskan dengar pula lagu Mr. Saxobeat, online lagi. Main game.

Tanpa rasa diperhatikan, sebenarnya malaikat maut daripada pagi duk pandang kita. Terbangun solat subuh lewat, Allah tahu. Malaikat kiri kanan tahu. Malaikat maut pun tahu.

Sambung dengar lagu Starships pula. Sibuk-sibuk dengar, mulut pun ikut sekali menyanyi. Baca Al-Quran? Ala nanti-nanti boleh.

Malaikat maut menjengah lagi.

Tiba-tiba terdengar azan. Tengah syok online ni. Tengok jam. Awal lagi. Teruskan online dulu, lagi sepuluh minit solatlah. Berlalu sepuluh minit, tengok jam, cipta alasan lain pula. Sampai dah tinggal lima minit waktu nak habis, baru pulun lari pergi wudhuk, nak solat. Itu Alhamdulillah solat. Yang terus tak solat sebab alasannya dah terlewat? Guane tu?

Malaikat maut ziarah lagi.

Nasib tak nampak je malaikat maut tu. Kalau nampak, confirm masing-masing tak ada masa nak buat benda lagha. Setiap masa pun nak buat baik je.

Sebelum tidur, belek-belek phone dulu. Wish goodnight kat boyfriend/girlfriend dulu.

Biy, nanti kejut I bangun solat subuh eh? Goodnight sayang. I love you. Esok mesej lagi :*

Baru nak tutup mata, nak tidur. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu. Ahh sudah. Siapa pulak nak kacau aku ni.

“Nak apa?”

Kasar intonasi. Bengang kononnya ada orang kacau waktu mengantuk macam ni.

“Nak nyawa kamu. Masa kamu di dunia sudah tamat. Wahai anak Adam, ini adalah waktu pertemuan kembali antara seorang hamba dengan Pencipta segala ciptaan.”

Tergamam.

Ah. Macam mana ni. Aku belum sempat baca Quran. Aku dah lama tak solat taubat. Solat aku yang lepas-lepas ni yang aku sengaja tinggal nak buat macam mana.

Mati mana boleh tangguh lagi. Aduh. *tepuk dahi*

Esok dah janji dengan kawan nak main futsal. Dah janji nak mesej awek. Esok kena hantar assignment, deadline. Macam mana ni.

Lalu malaikat maut pun masuk ke dalam bilik.

Dengan muka cuak, cuba merayu mohon ditangguhkan waktu mati. Kita lupa, malaikat maut itu sentiasa memerhati. Tunggu masa nak ambil nyawa. Selama ni leka dengan dunia. Bila tiba hari kematian, baru yakin yang mati tu bila-bila. Tapi…. semuanya dah terlambat.

Jadi, mulai dari sekarang. Rancanglah kematian sebaik-baiknya. Nak mati dalam keadaan sudah bertaubat, atau nak mati dalam keadaan sibuk buat maksiat?

Tepuk dada, tanya IMAN.

Di tag , , , , , ,

Khusyuk Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk.

Lantas dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?

Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”

Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air, sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-

* Bertaubat,
* Menyesali dosa yang telah dilakukan,
* Tidak tergila-gilakan dunia,
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya’),
* Tinggalkan sifat berbangga,
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu, dan
* Meninggalkan sifat dengki.

Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratal mustaqim’ dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku.

Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya.

Seterusnya aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk; aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Di tag , , ,